Jumaat, 19 Oktober 2012

KAMI DATANG PADA MU


Labbaik Allahumma Labbaik,
(Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah)

 
Labbaika la syarika laka labbaik,
(Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu)


Inna al hamda wa an ni’mata laka wa al mulka la syarika laka.
(Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu)

 
 



Rabu, 17 Oktober 2012

KISAH NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL


Gambar Hiasan

Kisah ini telah berkali kali aku membacanya, malahan “terpaksa” dihafal jalan ceritanya tetapi itu dahulu, semasa aku dibangku sekolah dan mengambil paper Sejarah Islam sebagai paper elaktif. Target aku semasa itu adalah untuk mendapat A1, lulus dengan cemerlang dan supaya dapat menyokong paper utama bagi melayakkan aku menjejaki tangga menara gading. 

Semasa mengikuti satu training (ESQ) kisah ini diperdengarkan lagi, Aku bersykur kerana Allah memilih ku untuk mendengar kisah yang berulang kali telah aku dengar dan kali ini aku dapat merasai yang aku membacanya dengan mata hati, Air mata mencurah-curah apabila mendengar kisah ini, dan apabila mata hati dapat melihat besarnya pengorbanan Nabi Allah Ismail, Nabi Allah Ibrahim dan Wanita Mulia Siti Hajar, mengharuni ujian dan keyakinan terhadap perintah Allah.
Kini setiap ujian mereka itu telah menjadi rukun ibadat haji, yang dikerjakan oleh umat islam setiap tahun sehinggalah Allah saja yang tahu atas segala nikmat ibadat ini yang dikurniakan kepada hamba-hamba Nya yang terpilih.

Semoga para sahabat dan saudaraku, hayatilah ibadat haji dan korban ini dengan sedalam dalam mata hati dan mengambil iktibar diatas kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Ibadat ini bukan jadi ikut-ikutan atau untuk mendapatkan kebanggan. 

KISAH Nabi Ibrahim yang sanggup ‘mengorbankan’ anaknya, Nabi Ismail demi melaksanakan perintah Allah menjadi ingatan dan iktibar setiap kali musim haji dan sambutan Aidiladha.  Kepatuhan dan ketaatan Nabi ibrahim, Ismail dan Siti Hajar untuk melaksanakan perintah Allah itu adalah simbolik kepada ibadat korban yang dilakukan oleh umat Islam.

Diriwayatkan sebelum Nabi Ibrahim diperintahkan Allah supaya menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail. Baginda membuat ibadat korban sebanyak 1,000 kambing, 300 lembu dan 100 unta di jalan Allah. Melihatkan kepada banyaknya jumlah korban yang dilakukan, maka manusia dan malaikat kagum dan kehairanan. Nabi Ibrahim bersabda:

“Semua yang menjadi korban itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki sudah tentu dia juga akan kusembelih dijalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah.”

Ketika Nabi Ibrahim tiba di Iradhil Muqaddasah (bumi yang disucikan), baginda memohon kepada Allah supaya dikurniakan anak dan Allah mengabulkan permohonannya. Akhirnya, baginda dikurniakan seorang anak lelaki.

Tatkala, anaknya iaitu Nabi Ismail pandai berjalan dan berusia tujuh tahun (sesetengah sirah menerangkan 13 tahun), Nabi Ibrahim mendapat mimpi iaitu baginda mendengar suara yang berkata:

“Hai Ibrahim, tunaikan nazar kamu!”

Keesokan paginya, Nabi Ibrahim berfikir: “Apakah mimpi itu datangnya daripada Allah atau syaitan?” Selanjutnya, pada malam kedua, Nabi Ibrahim bermimpi lagi, sama seperti mimpinya terdahulu.

Maka, keesokan harinya, baginda tahu bahawa mimpinya itu adalah daripada Allah.

Pada malam ketiganya, beliau bermimpi lagi seperti sebelumnya hingga Nabi Ibrahim pasti bahawa mimpi itu datang daripada Allah yang bermaksud baginda perlu menunaikan nazar dengan menyembelih anaknya sebagaimana yang dijanjikan.

Ketika Nabi Ibrahim hendak pergi melaksanakan penyembelihan, beliau berkata kepada ibu Nabi Ismail iaitu Siti Hajar yang berbunyi:

“Hai Hajar, pakaikan anakmu Ismail dengan pakaian yang paling baik dan bagus kerana aku akan pergi dengannya.”

Maka, Siti Hajar memakaikan pakaian, memberi haruman dan membersihkan tubuh anaknya sebelum menyerahkannya kepada suaminya. Kemudian, Nabi Ibrahim pergi bersama anaknya dengan membawa tali dan pisau yang tajam berhampiran Mina. Ketika itu,  iblis terkutuk sudah sedia menanti untuk menggoda dan dia tidak pernah sesibuk seperti hari itu.

Dalam perjalanan Nabi Ibrahim ke Mina, Nabi Ismail kelihatan ceria dan sering berlari meloncat ke hadapan ayahnya. Maka, iblis berkata kepada Nabi Ibrahim:

“Wahai Ibrahim, apakah engkau tidak memperlihatkan betapa tampan parasnya, bagus badannya dan kesantunan peri lakunya?”

Kata Nabi Ibrahim:
 “Ya, tetapi aku diperintah Tuhanku untuk itu.”

Ketika iblis terkutuk itu putus asa terhadap Nabi Ibrahim, lalu dia pergi mendapatkan Siti Hajar dan berkata:
 “Wahai Hajar, bagaimana boleh engkau duduk-duduk saja, sedangkan Ibrahim sudah pun pergi dengan anakmu dan akan menyembelihnya?”

Kata Siti Hajar: 
“Jangan engkau berdusta, aku tidak pernah tahu seorang ayah sanggup menyembelih anaknya sendiri.”

“Itulah sebabnya dia keluar dengan anakmu membawa tali dan pisau. Dia mengira bahawa Tuhannya menyuruhnya untuk itu,”
katanya iblis.

Siti Hajar menjawab:
“Nabi itu tidak pernah diperintah untuk sesuatu yang batil dan saya sendiri bersedia untuk menebus perintah itu dengan jiwa sendiri, betapa pula jika hanya dengan jiwa anakku?” 

Ketika iblis terkutuk berputus asa terhadap Siti Hajar, maka dia pergi kepada Nabi Ismail seraya berkata:
“Sungguh engkau bersenang-senang, sedangkan ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu.”

Nabi Ismail berkata:
Jangan engkau berdusta, mengapa ayah aku akan menyembelihku?” 

Iblis menjawab:
“Dia mengira bahawa Tuhannya menyuruhnya untuk itu.”

Nabi Ismail berkata:
“Aku memperhatikan dan mentaati perintah Tuhanku.”

Ketika iblis terkutuk itu cuba untuk melontarkan godaan yang lain, maka terlebih dulu Nabi Ismail mengambil seketul batu dan melemparkannya kepada iblis sehingga mata kirinya pecah dan buta. Lalu dia pergi dengan sia-sia lagi rugi. Ketika Nabi Ibrahim tiba di Mina, baginda berkata kepada puteranya:

“Hai anakku, sungguh aku melihat dalam tidurku (dalam mimpi aku) bahawa aku menyembelih engkau, cuba engkau pula perhatikan bagaimana pendapat kamu?” 

Nabi Ismail menjawab:
“Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan. Insya-Allah ayah akan mendapatkan aku sebagai orang yang sabar, iaitu terhadap apa yang diperintahkan kepada ayah untuk menyembelih aku.”

Tatkala Nabi Ibrahim mendengar kata-kata puteranya, baginda tahu bahawa doanya kepada Allah sudah dikabulkan iaitu: 
“Rabbi Hablii Minash Shalihiin (Ya Tuhanku, berikanlah kepada anak yang soleh).”

Kemudian Nabi Ismail berkata kepada ayahnya:
“Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesan kepada ayah.

Hendaklah ayah mengikat tanganku supaya aku tidak bergerak-gerak yang mungkin menyakitkan ayah;

“Hendaklah wajahku dihadapkan ke tanah supaya ayah tidak melihat lalu menimbulkan kasih sayang ayah kepadaku;
“Hendaklah ayah melipatkan kain ayah supaya tidak tercemar dengan darah, meskipun sedikit hingga mengurangi pahala aku dan mungkin juga diketahui oleh ibu sehingga dia menjadi susah.
Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah, lagi pula mempercepatkan jalannya di atas leher aku, supaya tidak terlalu sakit kerana mati itu sakit sekali.

“Hendaknya ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai tanda kenangan daripadaku serta sampaikan salam aku kepadanya dan katakan kepadanya: ‘Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah’ dan jangan ayah beritahukan kepadanya bagaimana ayah menyembelih aku, serta bagaimana pula ayah mengikat tanganku.

“Hendaklah ayah tidak memasukkan anak-anak ke rumah ibu supaya dia tidak terlalu sedih mengenangkan aku. Dan ayah mengetahui anak seperti aku hendaklah ayah tidak melihatnya hingga nanti ayah menjadi susah dan duka.”

Nabi Ibrahim berkata:
“Sebaik-baik penolong adalah engkau wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah SWT.”

Kemudian ketika kedua-duanya sudah menyerah bersedia, ertinya bersedia melaksanakan perintah Allah, Nabi Ibrahim membaringkan Ismail seperti kambing yang disembelih. Ada yang menceritakan Nabi Ibrahim menelungkupkan wajah Ismail dengan isyaratnya supaya tidak melihat sesuatu yang menimbulkan kasih sayangnya, hingga dapat menghalang baginda daripada melaksanakan perintah Allah.

Nabi Ibrahim sedia untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail seperti yang diperintah oleh Allah. Kedua-duanya sudah menyerah bersedia, ertinya bersedia melaksanakan perintah Allah. Nabi Ibrahim kemudian membaringkan Ismail seperti kambing yang disembelih. Ada yang menceritakan Nabi Ibrahim menelungkupkan wajah Ismail dengan isyaratnya. Perkara ini supaya tidak melihat sesuatu yang menimbulkan kasih sayangnya, hingga dapat menghalang baginda daripada melaksanakan perintah Allah

Perintah itu dilaksanakan pada sisi batu besar di Mina. Ada yang menerangkan di suatu tempat yang dekat dengan Mina. Nabi Ibrahim meletakkan pisau pada leher puteranya, maka baginda memotongnya dengan sangat kuat sekali, namun ia masih tidak mampu memutuskan leher anaknya. Sesungguhnya, Allah membuka tutup mata malaikat di langit dan laut. Ketika malaikat melihat bahawa Nabi Ibrahim menyembelih puteranya iaitu Nabi Ismail, mereka tersungkur sujud kepada Allah. Kemudian Allah berfirman bermaksud:

“Perhatikan olehmu sekalian kepada hamba-Ku, bagaimana dia melakukan pisau di atas leher puteranya untuk mencari atau mengharap keredaan-Ku, sedang kalian dulu semua mengatakan sesuatu ketika Aku berfirman:

‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikan di bumi ini seorang khalifah.’
Engkau berkata:

‘Apakah Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi, dan akan
menumpahkan darah, sedang kami sekalian mensucikan Engkau?

Kemudian Nabi Ismail berkata:
“Wahai ayahku, lepaskan ikatan tali tanganku dan kakiku supaya Allah tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa, ertinya terpaksa dalam mentaati perintah Allah. Bahkan letakkan pisau itu di atas leher aku supaya malaikat tahu, bahawa putera Ibrahim itu mentaati perintah Allah dengan ikhtiar iaitu dengan pilihannya sendiri atau dengan sukarela.”

Maka, Nabi Ibrahim pun meluruskan dua tangan Ismail dan dua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajah ke tanah, lalu menggerakkan pisaunya dengan sekuat tenagany. Pisau itu membalik dan tidak boleh memotong leher Ismail dengan izin Allah.

 “Wahai ayahku, kekuatan kamu menjadi lemah kerana masih ada cintamu kepadaku, kerana itu ayah tidak boleh menyembelih aku,”
kata Nabi Ismail.

Maka, Nabi Ibrahim memukul pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua.

“Wahai pisau, engkau mampu membelah batu tetapi kamu tidak mampu memotong leher anakku,” kata Nabi Ibrahim
 Pisau itu berkata dengan izin Allah:
“Wahai Ibrahim, engkau mengatakan ‘potonglah’ sedang Tuhan seru sekalian alam berfirman: ‘Jangan engkau potong’. Maka bagaimana aku mentaati engkau, sedang aku harus menderhakai Tuhan engkau?”

Kemudian Allah berfirman bermaksud:
“Dan Kami menyeru: Hai Ibrahim, sungguh engkau membenarkan mimpi. Ertinya, apa-apa yang engkau perlihatkan daripada beberapa pemandangan, hingga tampak bagi hamba-Ku, bahawa engkau sungguh-sungguh memiliki keredaan-Ku daripada kecintaan kamu terhadap anakmu. 

“Dan adalah engkau dengan demikian itu, termasuk golongan orang yang taat kepada perintah-Ku. Sungguh, ini adalah ujian yang nyata, iaitu penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas, dari yang tidak ikhlas atau juga ujian yang nyata sulit sekali, kerana tidak ada yang sesulit itu.

“Maka, Kami selamatkan orang yang disuruh membunuhnya dengan sembelihan besar dari syurga, iaitu kambing kibas yang dulu dikorbankan oleh Habil yang diterima daripadanya. Dan korban kambing itu tetap berada di syurga, hingga Nabi Ismail ditebus atau digantikan dengan kambing itu.

“Kerana itu, kami perintahkan kepada Jibril yang datang dengan membawa kambing kibas, ketika Nabi Ibrahim meletakkan pisaunya yang terakhir kali pada leher puteranya itu.”

Malaikat Jibril berseru untuk mengagungkan Allah dan kagum terhadap perbuatan Ibrahim seraya berucap:
“Allahu, Akbar, Allahhu Akbar.”

Maka, Nabi Ibrahim membalasnya dengan ucapan:
“Laa Ilaha Illallaahu Allahu Akbar.”

Dan Nabi Ismail pun menyambutnya:
“Allahu Akbar wa Lillahil Hamdu.”

Maka, Allah menganggap baik kalimat ini, lalu mewajibkan kita sekalian mengucapkannya kerana mengikuti jejak Nabi Ibrahim.

Subhanallah..

Sumber dan suntingan : web Rujukan: http://www.scribd.com/doc/7898509/KISAH-Nabi-Ibrahim-Yang-Sanggup

Isnin, 15 Oktober 2012

PERISTIWA DI 10 MUHARRAM


10 Muharram : Laut Merah terbelah dua bagi menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.
 
 
10 Muharram - Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting. Kita sebagai hamba Nya yang kerdil haruslah mengambil iktibar. IQRA’ bacalah dengan mata hati mu pada setiap kejadian, pastinya ada hikmat Allah yang tidak terduga akal fikiran hamba-hambaNya.
 
Banyak hadis yang riwayatkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharran, antaranya adalah
 
1.ALLAH menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya
2.ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
3.Diciptakan lautan pada 10 Muharram
4.Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
5.Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram
6.Diciptakan Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
7.Dimasukkan Nabi Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
8.Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
9.Diselamatkan Nabi Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
10.Diselamatkan anaknya Nabi Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
11.Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
12.Diampunkan kesilapan Nabi Daud a.s. pada 10 Muharram
13.Dilahirkan NabiIsa a.s. pada 10 Muharram
14.Dikeluarkan Nabi Yunus a.s. daripada perut ikan Nun setelah berada didalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram
15.Disembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s. pada 10 Muharram
16.Diangkat Nabi Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
17.Diterima taubat Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
18.Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Nabi Sulaiman a.s.
19.Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
20.Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
21.Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram.


Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan dan rahmat kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhluk-nya.

Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mujizat kepada Nabi-Nabi-nya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurnianya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai tanda kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambanya mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu, masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi  tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, "Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi saw:

 
"Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu."


Maka Nabi Mohammad saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa. Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barang siapa yang melapangkan rezeki pada keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini. Terdapat juga sebuah hadis meriwayatkan, "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura, maka dapat menebus dosa satu tahun." Maksud hadis ini ialah hari yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari dan bulan kemuliaan kerana pada sesiapa yang berpuasa pada hari inilah, Allah membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang lampau.

 
Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini sepertimana terdapat dalam satu hadis.

 
"Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan mengenyangkan perut mereka."

 
Sahabat pun bertanya, "Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari." Jawab Rasulullah, "benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub. Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura."

Maka pada hari itu ( 10 Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur kepada Allah kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah beratus-ratus tahun lamanya memohon keampunan.

 
Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.

 Petikan hadis diatas disediakan dalam bentuk senarai
 

Sahabat pun bertanya, "Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari." Jawab Rasulullah, "benar,
 

1. Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura,

2. dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura

3. dan menjadikan laut pada hari Asyura

4. dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura

5. dan juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura,

6. dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, 7. dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura

8. dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub.

9. Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam

10. dan diampunkan dosa Nabi Daud,

11. juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura

12. dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura."

13. Allah menerima taubat Nabi Adam setelah beratus tahun lamanya memohon keampunan.

14. Allah menerima taubat Nabi Nuh setelah beratus tahun lamanya memohon keampunan.

15.Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu.

16. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.